Sunday, December 14, 2008

Foto Semasa Kolokium Penulis Pelbagai Kaum 2008

Sdr. Balaja Anyai, seorang penulis dari Sri Aman yang sedang meningkat dan berpotensi

Sdr. Jaafar Hamdan, penulis mapan dan serba boleh termasuk bermain gitar berjaya memukau para peserta semasa Malam Apresiasi Karyawan


Sdr. Sebastian Laberi dari Mukah, seorang yang tenang tetapi dalam diam-diam tetap berisi..



Sdr. Wezan Saili bersama Sdr. Desmond @ Blaise, dua bakat besar yang kreatif




Majlis Perasmian dan Makan Malam bersama penulis dari Mukah, antaranya Sdr. Charles (duduk-tiga dari kiri), Sdr. Eithan, penulis Bidayuh yang sedang meningkat (duduk-empat dari kiri), saya sendiri (duduk-lima dari kiri) dan berdiri di belakang saya Sdr. Hipani Alwi (baju batik coklat) berdiri bersebelahan dengan Sdr. Sebastian (baju batik biru)





Foto Semasa Kolokium Penulis Pelbagai Kaum 2008













Puisi: Kota Otak


Kota Otak

Pada kota otak

keinginan melonjak

fikiran mendesak

pertanyaan mengasak

ya atau tidak

dungu atau bijak.

Tanpa kota otak

kehidupan retak

bumi diri di pijak

dengan pelbagai jejak.

Adanya kota otak

mutlak segala hak

biarpun semua gerak watak

berpaksikan satu pihak.

Lawrence A. @ Neracabuana

(Mingguan Sarawak: 19 September 2004)

Kolokium Penulis Pelbagai Kaum 2008

12-14 Disember 2008: Hotel Penview Inn, Kuching menjadi tumpuan para penggiat seni khususnya para penulis apabila Kolokium Penulis Pelbagai Kaum 2008 telah berlangsung. Dianggarkan lebih 100 peserta yang rata-ratanya dari Sarawak dan Labuan (PERWILA) hadir sama. Kolokium yang bertemakan "Sastera Kebangsaan: Teras Penyatuan Kepelbagaian Nilai Etnik" ini merupakan anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) yang merupakan projek lanjut Jabatan Sastera yang pada peringkat awalnya diilhamkan oleh GAPENA. (buku program Kolokium Penulis Pelbagai Kaum 2008: hal.2). Pelbagai perkara berkaitan dunia sastera khususnya di negeri Sarawak telah dibentangkan dan dibincangkan bersama secara rinci. Para pembentang kertas kerja tersebut terdiri daripada En. Saiee Driss, En. Jais Sahok, En. Poul Nanggang, En. Mohammad Daud Mohamad, Dr. Jeniri Amir dan Dr. Awg. Azman Awg. Pawi. Sementara bagi seisi diskusi pula, panel yang terlibat adalah Pn. Radzemah Bahasan, En. Jong Chian Lai, En. Jaya Ramba dan En. Abg. Patdeli Abg. Muhi. Pengerusi bagi setiap sesi adalah En. Ja'afar Hamdan, En. Abg. Haliman Abg. Julai, En. Abdul Rasid Subet, En. Nor Hazizan Talib dan Pn. Norhidayah Bujang selaku pengacara majlis. Sesi perbincangan menjadi bertambah hangat dengan adanya sesi soal jawab dengan para peserta kolokium. Namun, perbincangan ini saya rasa amat positif dengan reaksi yang pelbagai warna pendapat menjadikan kolokium ini bukan hanya menjadi sebuah 'kotak' yang mengundang buah fikir yang bernas dari semua pihak baik para pembentang mahupun daripada para peserta. Bagi saya, 'kotak-kotak' itu dapat 'diselesaikan' dengan hanya perlu membuang huruf 'k' di akhir perkataan kotak yang akan menjadi perkataan 'kota' dan seterusnya membuang huruf 'k' pada awal perkataan 'kotak' yang akan menjadi perkataan 'otak'. Lalu terbitlah perkataan 'kota otak' yang bermaksud segala permasalahan dan kekaburan yang berlaku itu dapat diselesaikan dengan perbincangan yang realistik menggunakan pemikiran atau minda yang positif dan telus ke arah pembentukan sastera sebagai pemersatu kepelbagaian kaum di Malaysia amnya, dan di Sarawak khususnya. Acara Malam Apresiasi Karyawan yang bertempat di Balai Budaya DBPCS turut meriah dengan lenggok lembut tarian-tarian tradisi pelbagai suku kaum dan turut menonjolkan bakat-bakat yang cukup mengagumkan dan bertenaga dari staf-staf Dewan Bahasa dan Pustaka Sarawak dengan dendangan lagu-lagu puisi. Para penyair Sarawak seperti En. Zaini Ozea dengan deklamasi puisinya 'gedung gudang gedung', En. Desmond atau nama penanya 'Blaise' dengan puisinya 'Bicara Jerunai' cukup memukau, En. Wezan Saili juga dengan puisinya berkeupayaan menonjolkan puisi-pusi yang walaupun pendek tetapi amat padat dan kreatif bahasanya, En. Poul Nanggang dengan puisi spontannya yang berupa adunan pantun serta dua orang penyair muda tetapi berbakat besar berjaya menceriakan suasana. Yang lebih menarik seorang adik kecil yang merupakan seorang anak kepada staf DBPCS turut mendeklamasikan puisinya dengan penuh bersemangat dan mampu menghayati dengan setiap imbau rentak bait-bait puisinya amat saya bangga dan kagumi. Tidak dilupakan sdr. pengerusi majlis pada malam itu turut memainkan peranan besar dan serba boleh termasuk turut menanyikan lagu puisi bersama para peserta yang terlibat sama. Syabas dan tahniah kepada anda semua. Kesimpulannya. DBP dan PEKASA bolehlah dianggap berjaya mencapai objektifnya dalam penganjuran Kolokium Pelbagai Kaum 2008. Berfikiran secara terbuka dan mengambil kira perkara positif sesungguhnya penting untuk menjadikan kita sebagai penulis yang pada hakikatnya biar pun perlu meniti ranjau dan merangkak lelah, namun 'puncak' itu pasti akan ditawan pada akhirnya jua.

Wednesday, December 10, 2008

Sekadar Kenangan Ketika Menghadiri Simposium Penulis Pelbagai Kaum Ke VIII Sempena Hari Sastera 2007 di Kuantan Pahang

Sdr. Abd Rasit Subet



Sdr. Poul Nanggang

Prof. Ismail Hussein


Sdr. Jaya Ramba


Ketika di Hotel Seri Malaysia, Kuantan iaitu lokasi bagi Simposium 2007


Para peserta Simposium




26-28 Oktober 2007: Saya dan beberapa rakan penulis dari Sarawak telah dijemput untuk menghadiri Simposium Penulis Pelbagai Kaum Ke-VIII yang diadakan di Kuantan Pahang. Para penulis yang saya maksudkan itu adalah Sdr. Abd Rasit Subet dari DBP Sarawak, Sdr. Jaya Ramba, Sdr. Poul Nanggang dan Sdr. Sudan Ajang. Banyak acara yang berkisar kepada soal kesusasteraan dibincangkan, dan banyak input serta pendapat dari peserta simposium yang bernas dapat dijadikan ikhtibar serta panduan yang berguna untuk diaplikasikan dalam bidang penulisan. Saya juga berpeluang untuk bertemu dengan tokoh-tokoh sasterawan dan penulis tempatan, antaranya Prof. Ismail Hussein. Terima kasih dan sekalung tahniah diucapkan kepada GAPENA, Kerajaan Negeri Pahang, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur dan Sarawak, termasuk juga semua individu yang terlibat dalam menjadikan program ini. Tahniah.