12-14 Disember 2008: Hotel Penview Inn, Kuching menjadi tumpuan para penggiat seni khususnya para penulis apabila Kolokium Penulis Pelbagai Kaum 2008 telah berlangsung. Dianggarkan lebih 100 peserta yang rata-ratanya dari Sarawak dan Labuan (PERWILA) hadir sama. Kolokium yang bertemakan "Sastera Kebangsaan: Teras Penyatuan Kepelbagaian Nilai Etnik" ini merupakan anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) yang merupakan projek lanjut Jabatan Sastera yang pada peringkat awalnya diilhamkan oleh GAPENA. (buku program Kolokium Penulis Pelbagai Kaum 2008: hal.2). Pelbagai perkara berkaitan dunia sastera khususnya di negeri Sarawak telah dibentangkan dan dibincangkan bersama secara rinci. Para pembentang kertas kerja tersebut terdiri daripada En. Saiee Driss, En. Jais Sahok, En. Poul Nanggang, En. Mohammad Daud Mohamad, Dr. Jeniri Amir dan Dr. Awg. Azman Awg. Pawi. Sementara bagi seisi diskusi pula, panel yang terlibat adalah Pn. Radzemah Bahasan, En. Jong Chian Lai, En. Jaya Ramba dan En. Abg. Patdeli Abg. Muhi. Pengerusi bagi setiap sesi adalah En. Ja'afar Hamdan, En. Abg. Haliman Abg. Julai, En. Abdul Rasid Subet, En. Nor Hazizan Talib dan Pn. Norhidayah Bujang selaku pengacara majlis. Sesi perbincangan menjadi bertambah hangat dengan adanya sesi soal jawab dengan para peserta kolokium. Namun, perbincangan ini saya rasa amat positif dengan reaksi yang pelbagai warna pendapat menjadikan kolokium ini bukan hanya menjadi sebuah 'kotak' yang mengundang buah fikir yang bernas dari semua pihak baik para pembentang mahupun daripada para peserta. Bagi saya, 'kotak-kotak' itu dapat 'diselesaikan' dengan hanya perlu membuang huruf 'k' di akhir perkataan kotak yang akan menjadi perkataan 'kota' dan seterusnya membuang huruf 'k' pada awal perkataan 'kotak' yang akan menjadi perkataan 'otak'. Lalu terbitlah perkataan 'kota otak' yang bermaksud segala permasalahan dan kekaburan yang berlaku itu dapat diselesaikan dengan perbincangan yang realistik menggunakan pemikiran atau minda yang positif dan telus ke arah pembentukan sastera sebagai pemersatu kepelbagaian kaum di Malaysia amnya, dan di Sarawak khususnya. Acara Malam Apresiasi Karyawan yang bertempat di Balai Budaya DBPCS turut meriah dengan lenggok lembut tarian-tarian tradisi pelbagai suku kaum dan turut menonjolkan bakat-bakat yang cukup mengagumkan dan bertenaga dari staf-staf Dewan Bahasa dan Pustaka Sarawak dengan dendangan lagu-lagu puisi. Para penyair Sarawak seperti En. Zaini Ozea dengan deklamasi puisinya 'gedung gudang gedung', En. Desmond atau nama penanya 'Blaise' dengan puisinya 'Bicara Jerunai' cukup memukau, En. Wezan Saili juga dengan puisinya berkeupayaan menonjolkan puisi-pusi yang walaupun pendek tetapi amat padat dan kreatif bahasanya, En. Poul Nanggang dengan puisi spontannya yang berupa adunan pantun serta dua orang penyair muda tetapi berbakat besar berjaya menceriakan suasana. Yang lebih menarik seorang adik kecil yang merupakan seorang anak kepada staf DBPCS turut mendeklamasikan puisinya dengan penuh bersemangat dan mampu menghayati dengan setiap imbau rentak bait-bait puisinya amat saya bangga dan kagumi. Tidak dilupakan sdr. pengerusi majlis pada malam itu turut memainkan peranan besar dan serba boleh termasuk turut menanyikan lagu puisi bersama para peserta yang terlibat sama. Syabas dan tahniah kepada anda semua. Kesimpulannya. DBP dan PEKASA bolehlah dianggap berjaya mencapai objektifnya dalam penganjuran Kolokium Pelbagai Kaum 2008. Berfikiran secara terbuka dan mengambil kira perkara positif sesungguhnya penting untuk menjadikan kita sebagai penulis yang pada hakikatnya biar pun perlu meniti ranjau dan merangkak lelah, namun 'puncak' itu pasti akan ditawan pada akhirnya jua.